Sasar terajui segmen peruncitan
![]() |
Amir Hamzah Azizan (dua dari kiri) dan Zainal Abidin Othman menunjukkan poster kempen terbaharu, Petronas: The Road Rewards di Ampang, semalam. - Gambar Utusan/Panasonic Lumix |
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Petronas Dagangan Bhd. (PDB) menyasarkan untuk menjadi peneraju segmen perniagaan peruncitan tempatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, PDB kini semakin menghampiri pesaing utamanya, Shell dan berdasarkan perkembangan semasa, sasaran itu mampu dicapai.
Beliau berkata, sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan untuk perbelanjaan modal bagi mengembangkan segmen perniagaan peruncitan di seluruh negara.
"PDB menguasai hampir 32 peratus segmen perniagaan peruncitan tempatan melalui 948 buah stesen minyak di seluruh negara dengan 600 daripadanya mempunyai perkhidmatan kedai serbaneka Mesra.
"Bagi merealisasikan sasaran itu, PDB akan meningkatkan bilangan stesen minyak kepada 970 buah sebelum tahun kewangan berkahir pada 31 Mac tahun depan," katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran kempen Petronas: The Road Rewards di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Peruncitan PDB, Zainal Abidin Othman.
Amir Hamzah berkata, pihaknya juga mensasarkan keuntungan sebelum cukai bagi suku kedua tahun ini, akan meningkat berikutan kestabilan harga minyak mentah dunia dan pemulihan ekonomi negara.
"Kami mencatat sedikit penurunan pada suku pertama berakhir pada 30 Jun lalu tetapi perkara itu tidak menjejaskan sasaran perolehan lebih baik untuk suku kedua," jelasnya.
Ditanya mengenai kempen terbaharu Petronas, Amir Hamzah berkata, ia memberikan peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM3 juta dengan hanya berbelanja minimum RM30 di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara.
Kempen ini akan berlangsung selama empat bulan bermula 1 November depan merupakan salah satu langkah yang diambil Petronas untuk menghargai kesetiaan pelanggan dan memberi lebih keseronokan apabila mengunjungi stesen Petronas, katanya.
Melalui kempen ini, PBD menyasarkan peningkatan sebanyak lima peratus dalam segmen perniagaan peruncitan.
Kata Amir Hamzah lagi, kempen seperti ini akan memberi impak yang sangat pantas dalam jangka masa pendek kepada Petronas dan pihaknya akan berusaha mengekalkan momentum tersebut melalui pelbagai aktiviti promosi lain pada masa depan.









0 comments:
Post a Comment